Borang Online

Login Forum



Administrator

Shout Box

Latest Message: 3 weeks, 4 days ago
  • Azhar : Saya sedang hubungi Dr. Asri. Bila dapat tarikhnya saya akan hubungi pihak tuan.
  • wakil pemuda : Jika anta boleh dptkan tarikh dan waktu ust yang power2 just inform Hj Ghani atau Pembantu Tadbir di Pejabat.
  • Azhar : Kepada siapa harus saya hubungi?
  • Azhar : Tkasih Wakil Pemuda. Kalau saya cari apa kepastiannya carian saya itu diterima oleh pihak tuan?
  • izzat : salam,cuba ajk2 cari ust yg power isi kupasannya,
  • wakil pemuda : Ust yang sedia ada pun Alhamdulillah. Untuk memuaskan semua pihak adalah sukar. Cadangan saya jika anta boleh dapatkan ust2 yang so called 'power' kami sangat2 alu2 kan
  • wakil pemuda : Assalamulaikum Azhar. Perkara ini akan saya forward ke bahagian lujnah dakwah dan tarbiyah yg diketuai oleh Ust Shukri dan dibantu oleh imam2 Masjid.
  • Azhar : Penuh atau kurang berusaha?
  • wakil pemuda : ambil perhatian.
  • wakil pemuda : agak susah untuk dapat slot mereka. Kalau penceramah under power tapi Ilmunya sgt memanfaat pun ok juga. WA. Lujnah dakwah dan tarbiyah sila

Only registered users are allowed to post

Sections

Who's Online

We have 2 guests online
Selamat Datang Ke Masjid Bukit Indah Ampang
Peniaga sorok barang keperluan dilaknat, zalim PDF Print E-mail
Written by Wakil Pemuda   
Tuesday, 22 June 2010 12:07

Tindakan monopoli pasaran untuk kaut untung menyusahkan pengguna, jejas ekonomi

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, krisis kekurangan bahan keperluan seharian sering berlaku terutama menjelang perayaan.

Begitu juga didapati kekurangan bekalan gula semakin menjadi-jadi ketika ini, meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai usaha mengatasinya. Terbaru, lesen pemborong akan ditarik bagi peruncit gula yang tinggal di kawasan lingkungan 10 kilometer berhampiran sempadan negara.

Langkah ini bagi menyekat penyeludupan gula ke sempadan negara kerana harga guna di negara jiran lebih tinggi berbanding Malaysia.

Segala kesempatan yang ada untuk mengaut keuntungan dengan cara yang merugikan negara haruslah dijauhi dan dihindari. Hampirnya Ramadan tidak berapa lama lagi antara faktor utama aktiviti menyorok gula di kalangan pemborong tempatan yang jauh dari daerah persempadanan berulang lagi.

Peniaga mengambil kesempatan dengan menyorok gula agar harga keperluan ini melambung tinggi dalam pasaran. Mungkin tidak ramai yang tahu tindakan ini dilarang Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Siapa yang menyorok barang keperluan, dia seorang yang berbuat maksiat.” (Riwayat Muslim)

Perbuatan menyorok barang dalam bahasa Arab ialah ihtikar iaitu perbuatan memonopoli barangan secara individu bagi meningkatkan harga di pasaran. Menurut Islam, perbuatan ini adalah kezaliman yang dilakukan peniaga kepada pembeli dengan menggandakan harga barangan bagi mengaut keuntungan lebih.

Banyak hadis yang melarang dilakukan perkara seperti ini sama ada oleh golongan peniaga di kalangan orang awam hingga kepada peringkat pemerintah dan kerajaan.

Perbuatan seperti ini akan menyusahkan semua lapisan masyarakat. Sebuah hadis diriwayatkan Ibn Majah dan al-Hakim daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Usahawan diberi rezeki dan orang yang menyorok barang dilaknat.”

Dalam hadis berkenaan jelas menunjukkan usahawan yang mencari pendapatan dengan konsep memudahkan masyarakat pasti akan dipermudahkan rezeki mereka Allah.

Berbanding dengan pihak yang menyimpan barang atau memonopoli suatu perniagaan mencari keuntungan dengan kesusahan orang lain pasti akan dimarahi dan dibenci masyarakat.

Ulama fekah menetapkan syarat mengenai pengharaman barangan keperluan ini seperti berikut:

  • Barangan yang disorok itu perlu ‘lebihan’ keperluan peribadinya dalam tempoh setahun. Sekiranya dia menyimpan barangan itu sebagai keperluan dirinya sepanjang tempoh setahun sebagai bekalan peribadi, ia tidak dikira sebagai ihtikar.
  • Individu berkenaan menunggu masa untuk harga dinaikkan dan ketika itu baru menjualkan kepada umum.
  • Barangan yang disorok adalah keperluan masyarakat setempat pada setiap masa, misalnya makanan asas seperti beras, tepung, gula dan sebagainya.

Jika perbuatan itu tidak menepati syarat berkenaan, penyimpanan barangan itu tidak dianggap ihtikar atau menyorok barangan untuk memanipulasinya.

Perbuatan buruk seperti ini sebaiknya harus dihindari peniaga kerana menyusahkan masyarakat dan juga diri sendiri apabila perbuatan mereka diambil tindakan dan menerima balasan buruk di akhirat kelak.

Khalifah Umar halang sembunyi makanan

KISAH yang petik daripada kitab Musnad oleh Imam Ahmad Hambal mengenai kisah Farrukh pembantu Utsman. Imam Ahmad mencatatkan mengenai Khalifah Umar al-Khattab ketika menuju ke masjid melihat lambakan makanan. Beliau bertanya: “Makanan apakah ini?” Mereka di situ menjawab: “Makanan yang kami usahakan.” Beliau berkata: “Semoga Allah memberkatinya dan mereka yang mengusahakannya.”

Namun, sebahagian mereka berkata: “Wahai Amir al-Mukminin, semua makanan ini akan disorok.” Beliau bertanya, siapakah yang menyoroknya? Mereka memberitahunya bahawa Farrukh pembantu Utsman dan si fulan pembantu Umar.

Beliau yang mengetahui hal itu terus menghantar orang agar memanggil mereka bertemunya. Beliau bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu menyorok makanan kaum Muslimin?” Mereka menjawab: “Wahai Amir al-Mukminin, kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya.” Jawab Umar: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.”

Mendengar kenyataan Umar itu, Farrukh segera berkata, aku berjanji demi Allah dan di depan engkau, aku tidak akan menyentuh makanan itu sampai bila-bila. Manakala, pembantu Umar masih menjawab: “Kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya.” Abu Yahya yang meriwayatkan hadis itu menceritakan: “Akhirnya, aku sendiri melihat pembantu Umar itu menghidap penyakit kusta di akhir umurnya.” 

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

 
FORUM PERDANA DI MASJID BUKIT INDAH PDF Print E-mail
Written by Wakil Pemuda   
Thursday, 17 June 2010 15:26








SEMUA DI JEMPUT HADIR

Last Updated on Thursday, 17 June 2010 15:26
 
Khutbah: Palestin Memanggil Kamu Pulang Kepada Islam PDF Print E-mail
Written by Wakil Pemuda   
Wednesday, 09 June 2010 12:02

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sekali lagi, umat Islam sedunia dihidangkan dengan pusingan seterusnya kekejaman regim Zionis ke atas umat Islam dan manusia di bumi Palestin. Kekejaman yang melampaui batas fikiran manusia, yang tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengiyakan apa yang diamarankan oleh al-Quran, tentang fasad besar-besaran pusingan kedua yang dicetuskan oleh kaum Yahudi ini.



Firman Allah SWT:

“Dan telah Kami nyatakan kepada Bani Israil di dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau” [al-Israa' 17: 4]

Para ahli Tafsir kontemporari menyetujui bahawa kerosakan pertama yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi ini adalah semasa mastautin mereka di bumi Yathrib. Mereka menguasai politik, ekonomi dan sosial di kota tersebut, bongkak dengan impian mereka bahawa Nabi akhir zaman akan diutuskan sekali lagi daripada keturunan mereka, dan seterusnya memanfaatkan kebodohan kaum Aus dan Khazraj lalu melaga-lagakan dua kelompok kaum Arab ini hingga berperang sesama sendiri, mencecah suatu tempoh yang amat panjang.

Kerosakan pertama ini mencapai kemuncaknya, apabila mereka secara rasmi menolak Kenabian Rasul akhir zaman, tatkala tibanya Muhammad bin Abdullah ke kota Yathrib di dalam peristiwa Hijrah. Meleset sekali impian mereka, bahawa Allah telah menetapkan bahawa kaum yang banyak membunuh Nabi dan Rasul ini hilang kebanggaan buta mereka, apabila penutup segala Nabi dan Rasul, diutuskan daripada kaum Arab berketurunan Ismail ‘alayhi al-Salaam, iaitulah Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Firman Allah SWT:

“Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat keras serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (untuk menyerang dan mengusir kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang benar-benar berlaku” [al-Israa' 17: 5]

Sidang Jumaat, rahimakumullah…

Misi menghadapi kaum Yahudi yang tidak pernah jemu menyebarkan kerosakan di muka bumi biar pun telah diberi peluang berkali-kali oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, disempurnakan oleh umat Islam dengan pengusiran mereka dari bumi Khaybar pada bulan Muharram tahun ke-7H.

Semenjak itu, kaum Yahudi hidup berpeleseran dan sukar diterima di mana-mana sahaja penempatan di muka bumi, di bawah mana-mana kuasa pemerintah, disebabkan oleh perilaku mereka sendiri yang tidak henti-henti mencetuskan fasad di muka bumi.

Namun, di sepanjang sejarah itu, kuasa pemerintah Islam jugalah, dengan keluasan rahmat dan toleransinya menghulurkan bantuan bersyarat kepada kaum Yahudi, termasuklah semasa mereka berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai di bumi Andalus pada 1492 oleh kuasa Kristian. Kerajaan Islam Turki Othmaniyyah mempelawa mereka untuk mendapat perlindungan duduk di bawah pemerintah Islam, tetapi Yahudi tetap Yahudi, mereka menjadi duri dalam daging hingga akhirnya berperanan sebagai kelompok terpenting yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Othmaniyyah. Yahudi Donme yang hidup talam dua muka, menjadi lubang kebocoran bagi negara Islam terakhir itu, hingga legasi Islam ribuan tahun, tamat secara rasminya pada tahun 1924.

Sidang Jumaat sekalian,

Kejatuhan kerajaan Islam terakhir itulah, titik utama kepada terlepasnya bumi Palestin dari wilayah Islam. Sehingga kini, bumi Palestin itu terus bermandi darah, setiap anak yang dilahirkan, adalah seperti sudah tersurat bahawa mereka bakal menjadi mangsa kekejaman penjajah Zionis yang terus menerus membelakangkan kemanusiaan, menghancurkan apa dan siapa sahaja yang menghalang cita-cita mereka untuk menegakkan negara Zionis dari tebing Furat ke Sungai Nil.

Itulah ’sumbangan’ Yahudi.

Kerosakan demi kerosakan.

Dan Allah SWT telah menetapkan, bahawa kitalah pada hari ini yang berdepan dengan kerosakan besar-besaran pusingan kedua, sebagaimana yang telah dicatatkan di dalam ayat yang saya bacakan tadi.


Jamaah kaum Muslimin sekalian,

Apakah tindakan kita? Apakah cukup dengan hanya menggelengkan kepala, menanti isu ini pudar daripada siaran media selepas seminggu dua, dan kemudian menggelengkan kepala lagi untuk pusingan yang seterusnya?

Sesungguhnya, kita mempunyai 3 bentuk tindakan yang menanti perlaksanaan.

Tindakan pertama, adalah dengan MENGECAM.

Kita boleh dan perlu untuk membuat kecaman. Membantah dan menyuarakan penentangan kita terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin. Sama ada kecaman itu dibuat dalam bentuk demonstrasi, ucapan, khutbah dan penulisan, kecaman mesti diteruskan.

Kecaman ini boleh menjustifikasikan sokongan dan kebersamaan kita dengan saudara-saudara seagama di bumi Palestin. Ia juga menjadi bukti terhadap kepedulian kita. Ia menjadi tanda bahawa kita bukan terdiri dari kelompok manusia yang disebutkan oleh Allah dengan perumpamaan buruk sebagai BINATANG TERNAK.

Firman Allah SWT:

“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” [al-A'raaf 7: 179]

Binatang ternak tidak pernah peduli kepada pisau yang sedang diasah untuk menyembelihnya. Binatang ternak hanya memerhatikan rumput dengan penuh nafsu terhadap perutnya. Binatang ternak adalah perumpamaan kepada manusia yang diberi mata tidak melihat, diberi telinga tidak mendengar. Apa yang mereka pedulikan hanyalah lima rukun hidup iaitu MAKAN, MINUM, KERJA, REHAT dan KAHWIN.

Semoga dengan kecaman dan bantahan yang dibuat, menjadi saksi di hadapan Allah, bahawa kita adalah manusia, bukan binatang yang tidak punya rasa peduli dan peka.

Namun kecaman bukanlah tindakan yang terbaik oleh seorang mukmin.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim]

Arahan Nabi Muhammad sallalaahu ‘alayhi wa sallam terhadap tindakan kita mencegah kemungkaran, bukan sekadar mengingkarinya dengan hati, atau menegahnya dengan lisan, tetapi bertindak dengan tangan untuk MENGUBAH keadaan. Tindak balas kita mestilah ada upaya untuk mengubah keadaan, dan kecaman masih jauh dari mampu mencetuskan perubahan itu.


Sidang Jumaat rahimakumullaah,

Tindakan kedua yang mesti kita lakukan untuk bertindak terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin adalah selepas MENGECAM adalah MENCEGAH.

Mencegah boleh berlaku dalam beberapa bentuk.

Cegahan pertama adalah pada usaha mengelakkan diri untuk menjadi mangsa kepada kemungkaran itu. Ia mungkin boleh diertikan sebagai tindakan untuk berhijrah meninggalkan tempat di mana kemungkaran itu berlaku.

Ia mungkin berupaya menyelamatkan diri kita buat sementara, tetapi ia tidak akan dapat menamatkan kemungkaran itu daripada terus menerus berleluasa. Dan segala puji bagi Allah, saudara kita di bumi Palestin tidak bertindak melarikan diri. Jika mereka tidak punya semangat yang kuat untuk mempertahankan diri dan maruah Islam, sudah pasti mereka bertempiaran lari menjadi pelarian di bumi asing.

Namun Allah anugerahkan bumi itu dengan manusia yang kental jiwa. Mereka terus bertahan. Biar pun hanya dengan lastik dan batu, berundur tidak sekali-kali! Sama ada menang, atau syahid fi sabillah.

Mencegah yang kedua pula, boleh diertikan dengan tindakan kita mengekang diri daripada menjadi sebahagian daripada kemungkaran itu. Kita harus bertindak untuk menghalang diri daripada menjadi sebahagian daripada kekuatan regim Yahudi di bumi Palestin. Dan tindakan ini boleh dijustifikasikan dengan kempen boikot.

Secara individu, kita boleh menyekat diri daripada menggunakan barangan dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi regim Yahudi Zionis itu.

Firman Allah SWT berkenaan dengan hal ini:

“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu (Yahudi) kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami perpanjangkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya” [Al-Israa' 17: 6]

Di era kerosakan kedua oleh kaum Yahudi ini, Allah SWT menjelaskan bahawa kekuatan mereka adalah hasil yang diperpanjangkan kepada mereka berupa harta kekayaan dan sumber tenaga manusia. Ayat ini amat jelas menunjukkan kepada kita, bahawa regim Yahudi Zionis hari ini menjadi kuat hasil sokongan luar yang mereka terima.

Sokongan itu tidak lain dan tidak bukan adalah daripada negara Polis Dunia iaitu Amerika Syarikat.

Laporan http://www.ifamericansknew.org menjelaskan bahawa regim Zionis yang menjajah bumi Palestin menerima bantuan di antara 10 ke 15 juta US Dollar sehari daripada Amerika Syarikat. Jumlah ini mengatasi jumlah keseluruhan bantuan Amerika Syarikat kepada negara-negara Amerika Latin, Sub Sahara Afrika dan Carribean.

Kekuatan utama rejim Zionis di Palestin adalah sokongan Amerika Syarikat. Negara kuasa besar dunia itu berupaya memanipulasi kewangannya sendiri untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada rejim Zionis hasil kombinasi beberapa pihak, khususnya media di Amerika Syarikat yang tidak melapor, melapor secara simplistik, atau memberikan laporan yang salah, untuk mengawal kefahaman penduduk Amerika Syarikat tentang isu Palestin.

Maka tindakan memboikot barangan yang menyumbang kepada kekuatan ini, tindakan menghentikan penggunakan matawang Dollar Amerika Syarikat adalah tindakan mencegah yang boleh memberikan kesan kepada hal ini, jika umat Islam dan seluruh warga manusia yang prihatin bersatu padu menjayakannya.


Sidang Jumaat sekalian,

Walau bagaimana pun, tindakan mengecam dan mencegah masih belum mencapai standard yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada kita. Bahawa kemungkaran mesti menerima tindak balas yang bersifat MENGUBAH.

Perubahan itulah yang mesti diperhatikan oleh kita semua.

Apakah kekalahan demi kekalahan yang menimpa umat Islam selama ini berlaku tanpa sebab?

Apakah kejatuhan kuasa Islam hanya disebabkan oleh faktor luar?

Sesungguhnya mencela kaum Yahudi yang melakukan kerosakan, tidak lebih daripada sekadar kata pepatah Melayu, SEPERTI MARAHKAN ANJING MENYALAK BUKIT. Yahudi dan kerosakan sudah sinonim, maka janganlah kita sekadar marahkan Yahudi, sebaliknya cerminlah diri kita,
apakah yang sedang berlaku kepada umat Islam sendiri?


Kaum Muslimin rahimakumullaah,

Menjawab soalan ini, saya teringat kepada apa yang telah diungkapkan oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin”tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?

Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Nasrani sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.

Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?

Muslim ilusi berdepan dengan Nasrani realiti.

Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.

Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita berbondong-bondong murtad meninggalkan kita.

Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka sendiri yang selama ini mengkayakan musuh.

Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.

Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Berpecah belah hanya kerana secawan kopi. Pecah belah rumahtangga, pecah belah jiran tetangga, pecah belah masyarakat sedesa, pecah belah antara negara, perpecahan kita dari hujung daun hingga ke akar umbi.

Ya, jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti.

Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa.

Tragedi di Gaza adalah seruan Allah untuk kita kembali kepada Islam.

Islam yang tulen.

Ibu bapa didiklah anak menjadi Muslim, jangan dibiarkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Kenalkan kepada anak-anak kita apa itu Islam dan apa itu Jahiliyyah. Fahamkan mereka siapa Yahudi dan Nasrani dan mengapa mereka dikutuk Allah. Ajarlah anak-anak mencintai kebenaran, keadilan dan memusuhi kezaliman. Agar dengan jiwa tulen seorang putera Muslim dan puteri Muslimah, Yahudi tulen akan dikalahkan oleh Muslim tulen.

“Dan jika kamu kembali, maka Kami pula akan kembali ..” [al-Israa' 17: 8]

Kembalilah kepada Allah, agar Allah kembali kepada kita dengan bantuan dan kemenangan!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

 
GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEM PDF Print E-mail
Written by Wakil Pemuda   
Tuesday, 01 June 2010 11:43

KENYATAAN MEDIA
Isnin 31hb Mei 2010
GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA
MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA


Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza;

1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.

2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.

3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain
a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan,
b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan,
c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan
d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma.
Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia.

4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam.

5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.

6.  Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama.

7.  Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan.

8.  Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.

9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan.

10.   Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.


Zulkifli Mohd Nani
Pengerusi
Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi LifeLine4Gaza Malaysia

 
<< Start < Prev 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 Next > End >>

Page 8 of 36

Islamic Clock

Hijri Calender

Waktu Sembahyang

Polls